News Paper Review

Restoran Zenith sediakan masakan Cina halal
by : Utusan Online
13/01/2006
Oleh ZUARIDA MOHYIN
SABDA Rasulullah s.a.w.: Kamu semua digalakkan berniaga kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan. (Riwayat Bukhari)
Ini adalah antara beberapa hadis yang dipegang oleh umat Islam yang menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Kerana hadis ini, ramai yang mencuba nasib dan berusaha menyahut seruan Baginda Rasulullah s.a.w.
Kini, alhamdulillah kerana semakin ramai ahli perniagaan Muslim telah mengecapi kekayaan menerusi perniagaan.
Senario sekarang menyaksikan perniagaan penyediaan makanan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Menariknya, perniagaan sebegini semakin menjadi pilihan mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.
Datuk Ja’afar Mohd Yusof, 40, dan isterinya Datin Haslinda Sim Abdullah, 38, adalah antara mereka yang menyahut cabaran bergelar usahawan bumiputera.
Mengapa pasangan ini memilih perniagaan penyediaan makanan? Kata mereka, sungguhpun banyak saingan tetapi keistimewaan Restoran Zenith ialah penyediaan pelbagai makanan Cina yang halal, di samping hidangan ala Barat, masakan Melayu serta perkhidmatan katering.
Pertemuan petang Isnin lalu turut membongkar kisah silam Ja’afar yang pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti mengecat penanda di atas jalan raya, budak stor, konduktor bas, pemandu teksi sebelum berpeluang mengikuti kursus usahawan.
Tiga hari mengikuti kursus itu menjadi titik tolak kepada beliau dalam mengenali kelebihan dan kelemahan diri dan seterusnya, melakukan perubahan atau penghijrahan diri.
Ikuti temubual bersama Ja’afar dan Haslinda di premis mereka di Megan Corporate Park, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Soalan: Bagaimanakah perniagaan ini bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?
Ja’afar: Pada asalnya kami tidak terlibat secara langsung dengan perniagaan penyediaan makanan ini tetapi lebih kepada sumbangan modal dan bergelar rakan kongsi.
Pertamanya, kerana belum begitu yakin dan masih belum mahir dengan selok-belok perniagaan sebegini. Ini kerana saya pada masa itu lebih kepada bidang memotivasikan usahawan bukannya berniaga secara langsung.
Lantaran itu, perniagaan yang diharapkan mampu bertahan akhirnya mengalami kerugian pada dua tahun selepas penubuhannya.
Semenjak itu saya dan isteri berbincang dan kami mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri. Bermula dari saat itulah, kami memilih masakan Cina sebagai tarikan utama kerana melihat masakan ini semakin diminati oleh orang Melayu.
Alhamdulillah, semenjak itu, perniagaan ini berkembang malah pelanggan tetap kami bukan sahaja ramai di kalangan orang tempatan kita seperti Melayu, Cina dan India malah rakyat asing turut berkunjung.
Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?
Seperti yang kami katakan di awal tadi tentang permintaan masyarakat Melayu yang semakin menggemari masakan Cina. Sayangnya masakan ini sukar ditemui kerana faktor kehalalannya. Malah, masakan Cina ini kalau teringin sangatpun, ditawarkan di hotel-hotel. Sebut hotel tentunya harganya agak mahal sedikit.
Lantaran itu, kekurangan ini adalah peluang besar kepada kami untuk mengambil kesempatan menawarkan kelainan di Restoran Zenith. Apatah lagi, isteri pula seorang yang dikira pakar dalam menu masakan Cina.
Selain itu, kami turut mempunyai tukang masak yang mampu mencipta resipi-resipi baru ala-Cina. Hakikatnya, terdapat beberapa resipi yang hanya terdapat di restoran ini.
Biarpun kami tidak pernah terlibat secara langsung dengan perniagaan penyediaan makanan tetapi alhamdulillah, sehingga kini banyak pengalaman dan selok-belok dunia perniagaan yang dipelajari.
Pun begitu, saya bersyukur kerana isteri mampu menguruskan restoran bersendirian memandangkan saya sibuk dengan tugasan lain.
Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?
Harapan kami suatu hari nanti perniagaan ini akan dapat difrancaiskan kepada mereka yang berminat. Kami akan menyediakan segala kelengkapannya dan mereka hanya perlu menguruskannya.
Menyentuh cadangan segelintir pihak supaya membuka cawangan lain, dalam keadaan sekarang yang masih kekurangan tenaga kerja menyebabkan kami memilih jenis francais.
Semua ini kerana saya mahu kembangkan kepada orang kita yang berminat berniaga. Mereka yang berminat bolehlah menghubungi 03-9056 3668. Modal yang diperlukan ialah RM200,000.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?
Pada peringkat awal, memang banyak cabaran yang terpaksa dilalui antaranya meyakinkan pelanggan terutamanya orang Islam tentang status hidangan masakan Cina yang halal.
Kami juga mengalami masalah pusingan modal pada peringkat awal terutamanya menerusi perniagaan berbentuk katering kerana bayaran yang diterima agak lambat.
Sebab itulah, kami lebih tumpukan kepada restoran tetapi ini tidak bermakna tidak mengambil langsung tempahan luar tetapi tidak ada penangguhan dari segi bayaran.
Selain itu, cabaran yang masih dihadapi sehingga kini ialah berkaitan penerimaan orang ramai. Biarpun ramai yang datang ke restoran ini namun tidak kurang segelintir yang kelihatan was-was terutamanya yang menghubungi melalui telefon bertanyakan berkali-kali tentang halal dan haramnya makanan di sini.
Walau apa pun, kami melihat semua cabaran ini secara positif dan ia mematangkan kami dalam dunia perniagaan.
Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?
Adat berniaga tidak pernah lari daripada pelbagai pengalaman suka dan duka. Semua itu kami terima dengan hati terbuka.
Kepuasan? Bagi saya setiap kali pelanggan datang terutamanya yang baru pertama kali mencuba masakan di sini, saya akan minta komen mereka dan setiap satu daripadanya akan saya ambil tindakan perubahan.
Malah ada antara mereka juga yang memberi cadangan bernas. Ini amat saya hargai.
Apabila pelanggan terima, suka dan berpuas hati sama ada dengan hidangan dan perkhidmatan yang diberikan, itulah makna kepuasan bagi saya.
Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan anda berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan.
Sembilan persepuluh punca rezeki memang satu saranan yang tepat dan wajar menjadi pegangan umat Islam.
Pun begitu, bagi saya ahli perniagaan Muslim juga perlu ada sikap tidak berputus asa, tidak mudah jemu, berkerja keras, sabar serta membina hubungan mesra dengan pelanggan.
Kesemua elemen ini penting dalam memastikan saranan Baginda ini terbukti benar.
Dalam berniaga makanan pula, walau penat dan letih manapun kita, senyuman mestilah sentiasa terukir kerana pelanggan adalah raja.
Di samping itu, adalah lebih baik untuk kita sentiasa kreatif dalam penyediaan makanan-makanan baru agar pelanggan mempunyai pelbagai pilihan.
Akhir sekali, kita juga kenalah sentiasa beringat dengan apa yang diusahakan, jangan pula terlalu mengejar keuntungan sehingga lupa tanggungjawab kita sebagai Khalifah di muka bumi ini.
Bagi saya, apa yang Allah kurniakan kepada kita adalah dugaan dan kita mestilah selalu mengingati-Nya.
Alhamdulillah dengan kejayaan yang dicapai, bagaimana pula sumbangan anda kepada orang terdekat dan mereka yang berada di sekeliling?
Kami amat bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan dalam perniagaan yang diusahakan. Alhamdulillah sepanjang operasi Restoran Zenith, rezeki kami sentiasa ada.
Kelapangan ini kami sentiasa kongsi bersama 12 pekerja sepenuh masa yang begitu berdedikasi. Ini tidak termasuk pekerja sambilan untuk majlis-majlis besar tertentu.
Selain itu, kami turut meraikan anak-anak yatim dan insan istimewa. Malah kami menawarkan penajaan makanan bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Tahun lalu sahaja kami menyediakan makanan untuk anak-anak yatim yang diraikan di hotel-hotel tertentu serta rumah-rumah kebajikan.
Kami juga menawarkan baucer makan percuma di Restoran Zenith sebagai hadiah bagi kuiz-kuiz anjuran pihak yang berkenaan.
Menyentuh tentang tanggungjawab setiap Muslim menunaikan zakat, berikan pandangan tuan mengenainya?
Zakat adalah satu kewajipan bagi mereka yang layak dan cukup syaratnya. Sepatutnya setiap Muslim mengetahui tanggungjawab mereka dalam melaksanakan tuntutan berzakat.
Sebenarnya dengan berzakat, kita dapat merasai ketenangan jiwa dan keberkatan rezeki yang diperoleh. Oleh itu, setiap Muslim tidak terlepas daripada kewajipan mengeluarkan zakat. Cuma zakat ini ada beberapa jenis. Jadi bagi mereka yang menepati syaratnya, lakukanlah perkara wajib ini. Insya-Allah hidup kita diberkati di dunia dan di akhirat.

0 comments:

Post a Comment